Tinggi Melambung!

Posted on September 15, 2015

0


20150910_083907

Mak cik!! awat darah tinggi melambung nie??!” sentakku kepada seorang makcik apabila melihat tekanan darahnya yang amat membimbangkan.

Kalau di Muar, orang awam akan diberikan sebuah buku perubatan kecil sebagai rujukan bagi kami pegawai perubatan untuk melihat kembali sejarah kesihatan seseorang pesakit. Untuk pesakit yang baru dan amat jarang mendapatkan rawatan, sekeping kad kuning coklat diberikan sebagai ganti.

Makcik yang umurnya dalam lingkungan 50-an masuk ke dalam bilikku dengan lenggang-lenggok selamba sahaja. Seperti tiada apa-apa yang berlaku. Senyum-senyum sambil gelak kecil dia mendengar teguranku yang sedikit tinggi. Makcik pun sudah boleh agak reaksi aku terhadapnya. Nak buat macam mana lagi, redha sajalah dapat doktor mulut macam aku!

hehe…. entahlah doktor… tak tahu kenapa tinggi sangat darahnya…” Nasib baik dia masih boleh tersenyum simpul mendengar bebelanku. “habis tue makcik datang hari nie sebab apa? Makcik sebelum nie ada darah tinggi tak nie? ubat makan?” tanyaku bertalu-talu ingin mendapatkan kepastian.

makcik datang nie bukan nak cek tekanan darah pun…. cuma kepala makcik nie pening-pening sikit, tangkap sampai ke leher nie haa…. tak tahulah salah tidur ke apa…..” jawab makcik tanpa risau dan ragu. “tinggi sangat ke doktor darahnya tue?” soalnya lagi kepadaku tanpa ragu….

Ya Allah makcik, kalau darahnya dah tinggi macam nie, bila-bila jer makcik oii….. kalau lepas saya bagi ubat dan makcik rehat sejam kat belakang pun masih sama jugak tekanan darahnya, saya terpaksa hantar hospital tau…” gertakku untuk menyedarkan dirinya yang nampak seperti tidak serius dan gusar.

tau doktor… makcik tau je darah tinggi nie bahaya… Pakcik leman kat seberang jalan tue meninggal pun sebab darah tinggi laaa… salur darah dalam kepala pecah? apa ntah! tue yang datang nak cek tue.. takot!!” jawabnya kepadaku kemudian menyambung kisahnya yang lagi membuatkan aku sedikit geram. “Dulu-dulu memang ada darah tinggi. Tue masa mengandung 10 tahun lepas laa…. habis ubat, makcik pun dah tak pergi check lagi. Ingatkan dah ok takda apa-apa dah….”

“Makcik… maksudnya dah sepuluh tahun laa ye makcik tak pergi check semula darah, tak ambil ubat? makcik… makcik… makcik dah tahu pun darah tinggi nie bahaya, selalu ada sakit-sakit kepala, tapi tak nak jugak datang check. Kalau apa-apa berlaku macam mana? takkan nak tunggu muka dah herot-berot ke.. takpun kaki dah rasa lemah tak boleh nak bergerak baru nak datang? Masa tue dah lambat dah makcik” tambahku sedikit lagi untuk menyedapkan rasa. Jawabnya mudah sahaja…. “makcik takut sebenarnya doktor…”

(doktor-doktor agaknya kena lebih toleransi, tidak terlampau memarahi pesakit andai mereka terleka, alpa dan lupa.  Pernah berjumpa dengan pesakit yang sangat takut dengan doktor yang bertugas sebelumku, mengadu kepadaku kerana sering dimarahi akibat tekanan darah yang tidak juga terkawal. Memang benar niat kita supaya mereka lebih berwaspada, tapi kesannya agak tidak baik sehingga menakutkan para pesakit untuk betemu kita. Nasihat secara tegas tetapi berhemah dan lemah-lembut. Banyakkan berdoa semoga mereka mendengar teguran kita untuk kebaikan semua pihak. Personal relation is so important!)

***********************************************************************************************************

Kebanyakan pesakit yang mempunyai darah tinggi, boleh dikatakan semua yang tidak terkawal adalah disebabkan tidak mengambil cakna tentang rawatan susulan yang diberikan oleh doktor, juga sikap yang tidak mahu mengambil ubat secara berkala. Memang benar, ubat hanyalah sebagai perantara, yang mengubati adalah DIA yang Esa. Tetapi usaha sebagai seorang pesakit juga perlu ada. Bila sudah di diagnosa dengan darah tinggi, pastikan ubat yang dibekalkan dimakan mengikut jadual yang ditetapkan, juga temu-janji mestilah hadir untuk melihat keserasian pesakit dengan ubat-ubatan disamping menjalankan pemeriksaan darah untuk melihat keadaan fungsi organ-organ yang penting yang mungkin terlibat.

petrol14

Penyakit darah tinggi sering dialami oleh orang tua kita. Kadang-kadang kesian juga… mereka sudah berumur. Sekejap ingat, kemudian lupa untuk temu-janji…. lupa untuk makan ubat….

Bila ditanya kenapa tak hadir ambil darah? “takda yang nak menghantar doktor… anak-anak semua sibuk kerja.”

Bila ditanya kenapa tak datang temu janji? “lupa doktor…. ingatkan lambat lagi. Maklumlah makcik nie tinggal berdua dengan pakcik. Pakcik pula dah uzur terlantar…. takda siapa nak mengingatkan…”

Bila ditanya kenapa kadang-kadang ubatnya tak makan? “tak ingatlah doktor…. ubat pun dah macam makan nasi banyaknya…! kalau dulu anak-anak boleh tolong tengok-tengokkan, nie masing-masing dah kerja luar…”

Mungkin kita sebagai orang yang lebih muda dan bertenaga, fikir-fikirkan bagaimana untuk menjaga orang tua kita seoptima yang boleh. Temu janji doktor kebiasaannya 4-6 bulan sekali mungkin boleh dirancang untuk mengambil ‘leave’ sebentar. Andai berada jauh, gunakan telefon untuk memberi peringatan kepada mereka. Ubat yang banyak pula, sediakan untuk mereka ‘kotak ubatan harian’ yang sangat-sangat membantu untuk pengambilan bersifat berkala. Semoga usaha kita menjadi pahala untuk berbakti kepada mereka insyaAllah….

kotak ubat

Advertisements